Apabila Muhyiddin meledak

0
227

Oleh Syahril Gazali

JARANG sekali kita melihat Muhyiddin secara terbuka menggelarkan seseorang itu sebagai gagal. Sebelum ini, dia hanya melemparkan label itu kepada Najib susulan skandal 1MDB.

Namun, semalam Muhyiddin meledak apabila secara berterus-terang beliau menyifatkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang gagal menguruskan ekonomi dan negara.

Semua orang bersetuju dengan pandangan Muhyiddin itu. Memang betul ekonomi negara dalam keadaan kronik, harga barang melambung dan nilai ringgit pada masa yang sama menjunam teruk tetapi Ismail Sabri tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah ini.

Hakikatnya, Muhyiddin memperkatakan sesuatu yang realiti. Tetapi apa yang menarik untuk dikupas ialah kenapa beliau memilih waktu sekarang untuk meledak?

Sebenarnya Muhyiddin sedang mempersiapkan partinya untuk bertempur, beliau mahu memberikan mood perang kepada partinya. Ini kerana beliau tahu bahawa Kluster Mahkamah yang mengawal UMNO sedang menekan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen. Beliau juga tahu, Ismail Sabri tidak akan mampu bertahan lama dengan tekanan tersebut.

Ertinya, pilihan raya umum sudah terlalu dekat, tak kisahlah sama ada akhir tahun ini atau tahun depan.

Jadi, suka tak suka, beliau perlu berdepan dengan Ismail Sabri dan UMNO dalam pilihan raya umum sebagai lawan.

Pada masa yang sama, Muhyiddin sedar bahawa penerimaan rakyat terhadap Ismail Sabri amat buruk. Jika benar hanya 35 peratus sahaja rakyat Malaysia yang berpuas hati dengan prestasi Ismail Sabri sebagaimana didedahkan Muhyiddin semalam – maka, BN perlu menimbangkan semula kewajaran menjadikan Naib Presiden UMNO itu sebagai poster boy untuk PRU-15.

Malah, jika dibuat perbandingan, rating Najib pada April 2018 iaitu sebulan sebelum PRU-14 lebih tinggi daripada Ismail Sabri iaitu 38 peratus – tetapi akhirnya BN tetap tersungkur.

Dalam hal ini, apabila beliau memilih untuk meledak semalam – Muhyiddin sebenarnya ingin memberi mesej yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa dia tiada kena mengena dengan kegagalan Ismail Sabri atau dengan kata lain – Muhyiddin tidak mahu dikaitkan dengan Ismail Sabri, baik dalam aspek pengurusan negara mahupun dalam soal kegagalan penggantinya itu menepati janji.

Tapi, Ismail Sabri tampil membalas dengan berkata jika dia gagal sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin juga turut sama gagal sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Salah!!! Itu salah sama sekali. Ismail Sabri tidak boleh menggunakan logik sebegitu untuk menghina pemikiran rakyat Malaysia.

Hakikatnya, sebagai Pengerusi MPN, Muhyiddin tidak mempunyai kuasa eksekutif. MPN hanya membuat cadangan kepada Jemaah Menteri yang dipengerusikan Ismail Sabri dan sebagaimana ditegaskan Muhyiddin semalam, Ismail Sabri tidak ambil peduli pun kepada banyak cadangan yang dibuat MPN.

Selain itu, langkah Muhyiddin mengkritik Perdana Menteri secara terbuka semalam juga bertujuan untuk memaklumkan kepada para menteri BERSATU yang adalah dalam Kabinet dan juga rakan gabungan dalam Perikatan Nasional bahawa inilah masanya untuk menyisih daripada Ismail Sabri jika mahu menang PRU-15.

Tentunya sangat janggal untuk mereka terus menyokong Ismail Sabri tetapi kemudian mengkritik dalam kempen pilihan raya.

Jelas, Muhyiddin sedang mempersiapkan partinya untuk bertempur.

Apa pun, mesej yang paling jelas yang mahu disampaikan Muhyiddin adalah kepada Ismail Sabri sendiri. Beliau mahu Ismail Sabri tahu bahawa Bersatu tidak akan memberi talian hayat kepadanya untuk keluar daripada tekanan Kluster Mahkamah. Bagi Muhyiddin, jika Kluster Mahkamah mahukan pilihan raya umum diadakan tahun ini – dia dan 29 Ahli Parlimen Bersatu akan berbuat hal yang sama. Muhyiddin tahu dia perlu bertindak pada waktu yang tepat.

Buktinya walaupun Muhyiddin telah mengkritik Ismail Sabri secara terbuka, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang tampil mempertahankan Ismail Sabri dalam tempoh 24 jam.

Facebook Najib juga diam. Sebelum ini, ia akan menyerang balas Muhyiddin hanya berselang beberapa minit selepas Muhyiddin berkata sesuatu. Tetapi kini, Facebook Najib yang diisytiharkan sebagai suara UMNO oleh Zahid cuma kaku, diam membisu.

Tapi jangan salah faham. Orang UMNO masih kekal benci Muhyiddin tetapi mereka kini lebih bencikan Ismail Sabri.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here