Sabah, Sarawak nafi bersikap ‘demanding’ tuntut tambah kerusi Parlimen

0
58

PEMIMPIN Sabah dan Sarawak bukan bersikap ‘demanding’ terhadap tuntutan satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebaliknya apa yang dituntut itu adalah perkara dijanjikan yang termaktub dalam Pelembagaan Malaysia.

“Sebenarnya bukan kita minta, ini (adalah) yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak.

“(Perlu faham) Kita bukan ‘demanding’, kita cuba meminta apa yang termaktub dalam perjanjian yang pada waktu itu Tanah Melayu persetujui (pembentukan Malaysia),” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai syor tambahan 35 peratus kerusi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah menjelaskan, tambahan kerusi itu penting memandangkan kedua-dua negeri itu berhak menyertai dalam membuat keputusan penting di Dewan Rakyat.

“Isu lebih kepada memastikan Sabah dan Sarawak berada dalam kedudukan yang mana (pemimpin kedua-dua negeri itu) boleh menjadi penentu bersama kepada keputusan penting,” katanya.

Ketika ini, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi di negeri Borneo dengan masing-masing 25 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.

Malaysia dijangka mempunyai 244 kerusi di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) jika kerajaan meluluskan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

Pada 8 September, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 hari ini membincangkan tuntutan bagi mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perkara itu antara isu utama dalam mesyuarat kelima majlis berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here