Penggodam ugut jual maklumat penjawat awam mulai Isnin ini

0
288

SEKUMPULAN penggodam yang menggelarkan diri mereka dari organisasi keselamatan siber ‘gray hat’ mendakwa dapat menceroboh masuk Sistem Penyata Gaji (ePenyata Gaji) penjawat awam bagi menunjukkan terdapat kelemahan pada sistem itu.

Menerusi satu kenyataan e-mel ditujukan kepada media, kumpulan itu turut mendakwa dapat mengakses lebih sejuta baris identiti melalui pangkalan data sistem terbabit dalam format JavaScript Object Notation (JSON) dan comma-separetd values (CSV), lapor Sin Chew Daily.

Antara maklumat yang diakses termasuk nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF dengan jumlah saiz fail sehingga 188.75 gigabyte (GB).

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu, kumpulan terbabit turut melampirkan beberapa tangkap layar slip gaji menteri dan ahli politik terkenal seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Kumpulan terbabit mendakwa sudah berhubung dengan Kerajaan Malaysia melalui e-mel dihantar kepada beberapa pegawai tertinggi kerajaan antaranya, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Rahimi Ismail; dan pejabat Ketua Audit Negara.

Kumpulan itu menyatakan kerajaan diberi masa sehingga 12 September lalu untuk memberi maklum balas mengenai pendedahan mereka terhadap kelemahan sistem ePenyata Gaji, bagaimanapun tidak mendapat maklum balas diharapkan.

Berikutan itu, mereka merancang menjual semua data yang diekstrak daripada ePenyata Gaji di beberapa pasaran pangkalan data terbuka mulai 19 September ini.

Sin Chew Daily juga memetik Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman dilaporkan berkata, satu laporan polis sudah diterima dari Jabatan Audit Negara (JAN) berkenaan perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, Jabatan Akauntan Negara (JANM) dalam kenyataan, semalam memaklumkan pihaknya mengesyaki ada percubaan pencerobohan ke atas sistemnya membabitkan Sistem Penyata Gaji penjawat awam, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, JANM ingin menegaskan bahawa integriti sistem data maklumat kami masih utuh dan telah pun diperkukuhkan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

JANM juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam hal ini untuk memastikan agar perkara ini tidak berulang.

“Dalam hal ini, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here