Polis tangkap suami isteri selepas budak didera cuba lari ikut tingkap

0
183

POLIS telah menahan seorang wanita dan suaminya selepas seorang budak lelaki berusia lapan tahun ditemui dengan kesan lebam di seluruh badan dan cuba melarikan diri melalui tingkap sebuah bilik di tingkat empat sebuah kondominium di Ampang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, dalam satu kenyataan pada Jumaat (16 September) berkata adik perempuan mangsa berusia enam tahun turut ditemui dengan kesan lebam di badan.

Katanya budak lelaki itu bersendirian di rumah ketika cubaan melarikan diri dari sebuah kondominium di Ampang.

“Mereka telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dimaklumkan berhubung kebajikan mangsa.

“Kira-kira jam 6 petang hari ini, kami menahan dua suspek iaitu ibu saudara berusia 33 tahun dan suaminya berusia 29 tahun. Dia tidak mempunyai sebarang rekod, tetapi lelaki itu mempunyai kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Siasatan menunjukkan dua kanak-kanak itu ditinggalkan ibu berikutan kematian bapa mereka dua tahun lalu.

“Mereka tinggal bersama suspek sejak dua tahun lalu selepas bapa mereka meninggal dunia. Ibu mereka tidak mahu menjaga kedua-dua mangsa,” katanya.

Kedua-dua suspek akan direman pada Sabtu.

Terdahulu, tular seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai mangsa dera diselamatkan selepas terperangkap pada belebas di tingkat empat sebuah kondominium dekat Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya, Ampang, Selangor, ketika cuba melarikan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata kejadian disedari orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak bomba pada jam 4.41 petang.

Menurutnya kanak-kanak itu dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dipercayai cuba melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik berkenaan dan terperangkap di belebas tingkap berkenaan.

“Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian jam 4.48 petang tadi mendapati pintu kediaman itu sudah berjaya dipecahkan oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan.

Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai didera berdasarkan kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan,” katanya lapor Agendadaily.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here