Suami isteri antara 6 individu ditahan bersama ganja bernilai RM20,000

0
238

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEPASANG suami isteri antara enam individu warga tempatan yang ditahan polis dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

Turut dirampas dalam tiga serbuan berbeza itu adalah ketulan mampat ganja seberat 7,640.45 gram yang dianggarkan bernilai RM19,346.12.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga daripada suspek berkenaan yang bekerja sebagai mekanik ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kereta di Permatang Rawa, pukul 8.30 malam pada Isnin lalu.

Katanya, dalam serbuan itu polis menjumpai sembilan ketulan mampat ganja seberat kira-kira 6,350 gram bernilai RM15,875 selain merampas selaras senapang buatan sendiri bersama 19 butir peluru.

Tambah beliau, serbuan kedua pula dilakukan di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Permatang Pauh kira-kira pukul 9.30 malam pada hari sama.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci ditahan manakala satu ketulan mampat daun kering disyaki berisi ganja dengan anggaran berat 244.77 gram bernilai RM611.92 dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di IPD SPT, Bukit Mertajam hari ini.

Cheng San berkata, serbuan ketiga dilakukan pukul 12.30 malam di Kubang Semang yang mana sepasang suami isteri ditahan bersama dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat ganja seberat 1,045.68 gram bernilai RM2,614.20.

Katanya, turut dirampas daripada pasangan itu adalah satu plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah heroin seberat 7.00 gram bernilai RM245.

Ujar beliau, selain dadah polis turut menyita dua buah kereta dan tiga motosikal pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM11,400 sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM96,546.12.

“Kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 56 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Sementara itu Cheng San memberitahu, secara keseluruhan pihaknya berjaya membuat 2,528 tangkapan berkaitan kes jensyah dadah di daerah SPT sepanjang tahun ini setakat semalam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here