MT UMNO akan tentukan rundingan dengan Pas – Ismail Sabri

0
124

KEPUTUSAN untuk membuka atau menutup terus pintu rundingan UMNO dengan Pas hanya boleh ditetapkan Majlis Tertinggi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut berkemungkinan dibawa ke mesyuarat MT nanti.

Jelas beliau, walaupun UMNO bersikap terbuka tetapi keputusan parti tetap akan ditentukan MT.

“Kita serah kepada MT, kita dengar pandangan daripada semua pihak, UMNO ini memang macam itu, kita terbuka…sesiapa sahaja boleh beri pandangan, akhirnya dari segi keputusan parti, ia akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi.

“Jadi kita tangguh mesyuarat hari Sabtu, malam minggu ini dan akan ditangguhkan kepada tarikh yang akan diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan).

“Jadi mungkin perkara itu boleh dibawa di dalam mesyuarat MT yang akan datang,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkenaan MT UMNO disaran menutup pintu rundingan dengan PAS berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malam tadi, Ismail Sabri berkata perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO bagi membincangkan berkenaan PRU15 yang dijadual Sabtu ini ditangguh ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Menurutnya ia susulan pemakluman daripada Setiausaha Agung UMNO bahawa Mesyuarat MT Khas yang dijadual pada hari sama ditangguh. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here