[VIDEO] Moratorium khas PMKS turut bantu ekonomi negara, pekerja

0
322

KELANGSUNGAN perniagaan syarikat kecil atau Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu dibantu kerana ia boleh membantu kembali pemulihan ekonomi negara dan ekonomi pekerja.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah berkata, ini kerana sebahagian besar daripada pertumbuhan ekonomi negara disokong oleh Industri Kecil Sederhana (IKS).

“Dia ada dua pandangan, pertama, kalau tidak boleh survive, tutuplah. Maksudnya habislah, maksudnya dia berfikiran secara ekonomi terbuka. Tetapi apabila sesebuah syarikat itu hilang, adakah ia memberi kesan kepada berapa ramai yang bekerja bersama syarikat itu dan sebagainya.

“Lagi satu pula yang mengatakan bahawa, syarikat-syarikat kecil ini kita kena bantu, itulah perlunya moratorium dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Khamis.

Beliau diminta mengulas kepentingan pelaksanaan moratorium khas terhadap PMKS yang kini menghadapi pelbagai cabaran baharu termasuk kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Cadangan moratorium khas dibangkitkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hasil daripada perbincangan bersama pemain industri yang kebanyakannya masih bergelut untuk keluar daripada kesan kemelut ekonomi akibat pandemik.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan moratorium khas kepada PMKS merupakan langkah yang tepat, namun penerima moratorium diharap tidak dikenakan caj kadar faedah atau kadar keuntungan.

Katanya, ia supaya peniaga-peniaga kecil di bawah sektor PMKS dapat ‘menghidupkan’ kembali perniagaan atau perusahaan mereka yang terkesan.

“Contoh sebelum ini sesiapa yang ambil moratorium akan dicaj ke atas baki principal (prinsip). Maksudnya kena bayar banyak juga, jadi jika mahu diberi moratorium kepada PMKS, jangan caj kadar faedah atau kadar keuntungan ke atas moratorium tersebut.

“Kalau boleh yang diberi moratorium tidak dikenakan caj keuntungan atau faedah, supaya mereka dapat bernafas sikit,” katanya.

Ketika dihubungi SatuBerita baru-baru ini, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Ding Hong Sing berkata, banyak usahawan PMKS akan ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak memandang serius pemberian moratorium khas kepada sektor tersebut.

Katanya lagi, pemberian moratorium itu merupakan penyelesaian sementara dan kerajaan perlu membuat perancangan jangka panjang bagi membantu sektor tersebut, sekali gus menstabilkan ekonomi negara. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here