PH perlu nilai prinsip, kejujuran sebelum terima Muda

0
247

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu menilai prinsip dan kejujuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebelum diterima sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pandangan akar umbi khususnya di peringkat cabang parti perlu diambil kira pucuk pimpinan sebelum membuat keputusan sama ada diterima atau sebaliknya.

“Muda berhasrat mahu menyertai PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlaku pelanggaran kerusi antara PKR dan Muda di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

“Dari segi kejujuran politik dan semangat mengangkat isu rakyat cukup penting, bukan soal hendak berdepan PRU-15 sahaja. Sepatutnya hasrat itu ditunjukkan sebelum pilihan raya lagi,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.

Pada 6 September lalu, Muda sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, PKR Cabang Johor Bahru mempersoalkan kenapa sekarang baru seolah-olah berminat sertai PH.

“Bagi kami isunya bukan hendak masuk PRU tetapi prinsip perjuangan itu perlu jauh lebih mendalam,” katanya yang juga Ketua Cabang Johor Bahru merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru.

“Cuma akar umbi di Johor khususnya di johor bahru, kami tidak payah cakap, sudah terang lagi bersuluh. Kita menempuh pelbagai kesusahan, pilihan raya bukan seminggu dua punya kerja,” katanya.

Menurut Akmal, keputusan berkaitan parti yang mahu menyertai PH perlu mencapai konsensus atau persetujuan daripada parti kompenan lain.

Berdasarkan pengalaman lalu katanya, PH pernah menerima dan menolak kemasukan parti baru dalam gabungan ini, selepas penilaian dan konsesus PH dicapai di peringkat Majlis Presiden PH.

“Cuma bagi saya kita juga faham perkara ini perlu melalui proses. Walaupun pandangan itu bagi saya ketara (menolak) terutama dalam kalangan akar umbi dan anak muda tetapi proses di peringkat Majlis Presiden PH perlu dihormati.

“Oleh sebab itu dalam beberapa prinsip akan diambil kira Majlis Presiden PH sebelum membuat sebarang pertimbangan. Isu ini bukan soal PKR bukan soal anak muda PKR tetapi PH secara keseluruhan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here