4 lelaki ‘Geng Pendang’ aktif pecah rumah ditahan polis

0
357

oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan kumpulan ‘Geng Pendang’ yang aktif melalukan jenayah pecah rumah di sekitar Seberang Perai sejak awal tahun ini menerusi Op Pintu di Kedah pada 10 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, dalam operasi itu empat suspek warga tempatan berusia antara 29 sehingga 39 tahun turut ditahan di sekitar Pendang, Sungai Petani dan Alor Setar.

Tambah beliau, turut dirampas daripada suspek adalah pelbagai barangan antaranya beg tangan berjenama, wang tunai, telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan kereta sewa Perodua Bezza yang digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

Ujarnya, susulan operasi itu polis turut menahan seorang pemilik kedai emas berusia 52 tahun di Alor Setar, Kedah yang mengakui membeli dan meleburkan barangan kemas yang dijual keempat-empat suspek berkenaan.

“Ekoran operasi ini juga, kita percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Seberang Perai sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tanbah Mohd. Radzi, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berasingan katanya, polis turut berjaya menahan seorang ahli kongsi gelap dan merampas pelbagai senjata termasuk sepucuk pistol di kawasan perindustrian Mak Mandin semalam.

Ujarnya, suspek berusia 40 tahun itu ditahan selepas kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 7.30 malam.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut polis kemudiannya menjumpai sepucuk pistol jenis Zoraki dan satu kelopak berisi empat butir peluru di bahagian kiri pinggang suspek.

“Turut dirampas adalah sebilah parang, kapak kecil, pisau lipat dan keris yang ditemui di bahagian bawah tempat duduk pemandu.

“Selain itu, kita turut merampas dua peket lutsinar yang mengandungi serbuk jenis syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM300,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek yang juga pelabur mata wang kripto turut memiliki lima rekod lampau berkaitan jenayah dan turut dikehendaki kerana terbabit dalam kes merusuh dengan senjata.

“Suspek kini direman sehingga 19 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here