Tuduh HKL tukar ubat kepada Najib tidak benar – Khairy

0
324

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa Hospital Kuala Lumpur (HKL) menukar ubat darah tinggi yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mengambil ubat original yang dibeli daripada hospital swasta dan HKL pula memberikan beliau ubat generik.

Begitupun, jelas Khairy, formulasi kedua-dua ubat itu adalah sama dan HKL, sama juga seperti hospital kerajaan lain mempunyai formula tersendiri, namun, mengesahkan ubat diberikan kepada Najib sama seperti yang beliau ambil sebelum ini.

“Jadi, tuduhan bahawa ubat itu ditukar, seolah-olah beri gambaran ubat yang berbeza, tidak benar. Saya baru semak dengan Dr Rosaida (Ketua Perkhidmatan Gastroenterology KKM, Dr Rosaida Md Said), kita beri ubat yang sama, generik, bukan ubat original tapi generik.

“Ubat generik ini sama saja bagusnya, memang kandungan yang sama dengan ubat original. Jadi ramai yang beri komen kenapa kita perlu buat kenyataan jelaskan sebagainya kerana ia penting.

“Ini kerana terdapat tuduhan daripada pegawai dan ahli keluarga Datuk Seri Najib bahawa seolah-olah ubat itu ditukar kepada ubat yang lain, which is not true.

“Ia disebut dalam kenyataan Tan Sri (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) semalam dan saya sendiri sudah sahkan dengan Dr Rosaida,” katanya, lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record & Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public-Private Partnership, di sini, pada Selasa.

Semalam, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ubat yang diberikan kepada Najib semasa menerima rawatan di HKL adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

Dr Noor Hisham berkata, Ahli Parlimen Pekan itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pihak HKL telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang dihadiri oleh Najib dan ahli keluarganya.

Beliau menambah, keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang tersebut mengikut amalan profesional kedoktoran.

Terdahulu, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan, tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here