PDRM Selangor nafi ketua polis daerah dera pembantu rumah, sifatkannya fitnah

0
201

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Selangor menafikan seorang ketua polis daerah di negeri itu terlibat dalam kes penderaan terhadap pembantu rumah warga Indonesia di Batu Caves, Selangor.

Pihak PDRM Selangor telah mengesan berita yang mendakwa suspek dalam kes terbabit adalah seorang ketua polis daerah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dakkwaan tersebut adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah yang cuba menjatuhkan imej PDRM.

“Justeru, orang ramai dan pengamal media dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan fakta tidak tepat berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Arjunaidi berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan kepada pihak yang didapati cuba memanipulasikan kebenaran sesuatu berita.

Pada 31 Ogos lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan daripada seorang wanita warga Indonesia berumur 46 tahun yang mendakwa didera oleh majikannya di sebuah rumah di kawasan Batu Caves, Selangor.

Polis kemudian menahan dua warga tempatan berumur 35 dan 38 tahun iaitu pasangan suami isteri yang merupakan suspek dalam kes itu.

Semalam, kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan suspek wanita dalam kes ini dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 13 Atipsom 2007, kedua-dua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Klang dan mengaku tidak bersalah serta membayar wang jaminan ditawarkan iaitu RM10,000 setiap seorang.

Suspek berusia 35 tahun juga dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah serta membayar wang jaminan RM8,000.

Mahkamah menetapkan sebutan kes bagi kedua-dua pertuduhan itu pada 5 Oktober depan di Mahkamah Sesyen Klang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here