Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun

0
379

RATU Elizabeth II telah mangkat di Balmoral pada usia 96 tahun, menurut kenyataan rasmi Istana Buckingham.

BERNAMA melaporkan baginda telah menduduki takhta selama 70 tahun.

Sementara itu Astro AWANI melaporkan pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden itu , menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).

Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.

Serentak pengumuman ini, bendera di United Kingdom (UK) dan seluruh Komanwel diturunkan separuh tiang, sementara semua jadual siaran televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati kemangkatan baginda.

Terdahulu, Istana Buckingham mengeluarkan kenyataan mengenai tahap kesihatan Ratu Elizabeth pada sekitar tengah hari waktu tempatan.

Kenyataan itu menyebut baginda dalam pemantauan kesihatan.

Menyusul kenyataan itu, anggota kerabat diraja, antaranya Raja Charles dan Puteri Anne, berangkat ke Istana Balmoral, dilaporkan untuk bersama-sama baginda.

Ratu Elizabeth atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan di 17 Bruton St, London, pada 21 April 1926.

Ratu Elizabeth adalah ratu pemerintah kepada 15 negara termasuk UK, Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica, Antigua dan Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, St Kitts dan Nevis, St Lucia, St Vincent dan Grenadines dan Tuvalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here