2 lelaki ditahan, dadah 6.3kg dirampas

0
218

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi dua lelaki tempatan dan merampas sebanyak 6.3 kilogram dadah bernilai RM86,390 di Seberang Perai Utara (SPU), Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 25 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Butterworth.

Menurut beliau, dalam serbuan itu polis merampas sebanyak 14 bungkusan dadah jenis heroin seberat 6.3 kilogram bernilai RM84,000 dan dua bungkusan ganja seberat 47.8 gram bernilai RM2,390.

“Selain itu kita turut merampas sebuah kereta, sebuah motosikal, sebentuk cincin dan seutas rantai dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM136,140.

“Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit mulai aktif sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan dan jumlah dadah yang dirampas boleh menampung keperluan kira-kira 31,500 penagih,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah beliau, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannibol (THC) dan ketamin selain turut memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman sehingga 8 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here