Muktamar Pas:Isu MN tidak disentuh secara langsung

0
254

Oleh BADLISHAH MAT

ISU berkaitan Muafakat Nasional (MN) tidak disentuh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas ke-68, hari ini.

Berucap sempena muktamar tersebut di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

“Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini.

“Seterusnya menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera,” katanya.

Perkara itu kataya, sangat penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.

“Kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat akan diberikan mandat untuk meneliti setiap perkara berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi serta pasca pilihan raya tersebut.

“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya demi memastikan Islam terus memimpin, termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU-15,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here