PAS tolak kerjasama perkara membabitkan dosa – Hadi Awang

0
228

PAS bertegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan serta kemungkaran.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata PAS tidak boleh memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta’awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

“PAS memperkenal pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk. PAS menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

“Pada masa sama, PAS sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

“Hal ini penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-69, di Kompleks PAS Kedah, lapor BH Online.

Turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here