Masa depan Melayu semakin tidak menentu

0
305

Oleh Aminuddin Yahaya

POLITIK memang sesuatu yang mengujakan kepada sesiapa yang mempunyai impian terhadap kekuasaan. Terbukti kuasa (sekurang-kurangnya di Malaysia) adalah punca mendapat segala-galanya, pujian, penghormatan, mendapat habuan harta, mengubah hala tuju negara dan sebagainya.

Politik juga adalah sesuatu yang sangat unik sehingga sangat sukar untuk difahami oleh rakyat biasa. Sebagai contoh, selalu disebut-sebut bahawa dalam politik tidak ada musuh kekal dan kawan kekal. Ia boleh berubah mengikut keadaan, asalkan ia boleh menyelamatkan survival sesebuah parti atau karier politik seseorang politikus.

Cuba kita lihat senario-senario yang saya sebutkan ini.

Sejak dulu UMNO bermusuh bermati-matian dengan PAS tetapi berbaik tahun 1970, kemudian bermusuh kembali. Selepas UMNO tumbang dalam PRU-14 yang lalu, mereka berbaik semula tetapi kini mula renggang sejak UMNO mendapat kembali tampuk kekuasaan.

DAP sering meratib bahawa UMNO itu musuh tetapi tiba-tiba baru-baru ini pemimpin-pemimpinnya berkata tidak mustahil untuk bekerjasama dengan UMNO. Malah, ketika di ambang tertumbangnya Tan Sri Muhyiddin dahulu, mereka pernah mengungkapkan perkara yang sama.

DAP sejak sekian lama berpegang pada “langkah mayat aku dulu” jika nak laksana Islam dan menganggap PAS adalah musuh besar mereka. Namun, kita tahu mereka bekerjasama rapat dan sayang sungguh pada PAS ketika dalam Pakatan Rakyat.

Malah, DAP disucikan lagi sesuci-sucinya dengan pelbagai gelaran seperti ‘khalifah’ dan slogan-slogan bersalutkan Islamik.

Lepas beberapa ketika mereka kini kembali memusuhi PAS lebih-lebih lagi bila parti AMANAH berjaya ditubuhkan dan menjadi ‘pengganti’ PAS yang efektif dalam percaturan DAP.

Kita juga tidak sangka, bagaimana Tun Mahathir menjadi musuh abadi DAP sejak sekian lama boleh berpeluk-pelukkan di atas pentas. Sungguh ikonik gambar Tun Mahathir dan Lim Kit Siang berpelukan yang menyimpan 1001 makna yang boleh kita renungi bersama. Tetapi akhirnya bermusuhan semula setelah kejatuhan Pakatan Harapan pasca Langkah Sheraton.

PKR pula, kata Tun Mahathir adalah Maha Firaun, Maha Zalim dan segala-gala Maha. Malah, penubuhan PKR hasil dari kebencian terhadap Tun Mahathir. Tetapi pada PRU14 merekalah yang menjulang Tun Mahathir sebagai ketua mereka sekaligus menjadi Perdana Menteri.

Parti WARISAN pula pernah berada bersama Pakatan Harapan dan malah disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Anwar Ibrahim. Tetapi kini saya difahamkan WARISAN sudah menjadi musuh Pakatan Harapan yang kedua selepas UMNO.

Parti BERSATU dahulunya menjadi komponen penting dalam PH tetapi kemudian keluar PH dan bergabung dengan PAS dan UMNO untuk tubuh kerajaan. Tetapi bila mereka hilang kerusi Perdana Menteri baru-baru ini, mereka cuba merujuk kembali kepada PH dan nampak gaya macam nak diterima.

Macam-macam ‘rollercoaster’ politik Malaysia ini. Sukar dijangka dan penuh dengan kelicikan serta hipokrasi.

Dalam 4 tahun kebelakangan ini, Malaysia sudah ada 3 Perdana Menteri, mula dari BERSATU 1.0 kemudian ke BERSATU 2.0 dan kini UMNO kembali.

Lihat pula apa yang ada dalam kerajaan; BERSATU marah dengan UMNO tetapi sekarang mereka dalam kabinet, PAS juga tak mahu kerjasama dengan UMNO tapi juga dalam kabinet. UMNO tak mahu kerjasama dengan Pakatan Harapan sebab ada DAP tetapi presidennya macam menyokong presiden PKR yang merupakan ketua Pakatan Harapan.

Pendek kata, tidak ada siapa yang benar-benar tahu ‘siapa musuh siapa’ dan ‘siapa kawan siapa’. Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku esok kerana dalam politik katanya semua boleh berubah dalam sekelip mata.

Ini disebabkan banyak laporan yang mengatakan berlaku perpecahan yang besar dalam kesemua parti, baik UMNO, PAS, PKR, PBBM mahupun DAP. Isu sama timbul apabila mahu diadakan PRU15 sering timbul kerana punca utama adalah disebabkan perbezaan pandangan dalam kalangan kepimpinan UMNO pula.

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here