Kawal kenaikan harga barang, jika tidak kenaikan gaji jadi tidak bermakna

KERAJAAN digesa mempertingkatkan kawalan dan pemantauan harga barang bagi mengelak dinaikkan peniaga susulan daripada kenaikkan gaji dan imbuhan yang bakal dinikmati penjawat awam.

Beberapa penjawat awam ditemui SatuBerita mahu kerajaan bertegas kerana sebarang kenaikan imbuhan akan menjadi sia-sia jika harga barangan keperluan harian terus meningkat sekali gus menjadikan kos sara hidup semakin tinggi.

Pembantu kajian, Azian Erdawati, 47, berkata kenaikan gaji dan insentif tidak memberi impak yang banyak jika harga barangan harian tidak terkawal.

“Rasa macam tiada impak sangat kerana kenaikan harga minyak masak. Semua barang makanan naik harga seperti susu tin, biasa beli RM2 sekarang RM2.60, makanan harian juga naik.

“Bayangkan orang yang ada anak dua tiga orang, tak cukup sebenarnya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) perlu turun padang, bila gaji naik peniaga ambil kesempatan naikkan harga barang walaupun tiada kena mengena,” katanya.

Pembantu tadbir yang hanya mahu dikenali sebagai Irfan, 22, berharap kerajaan terus konsisten dan tidak menghentikan program ransangan kepada pekerja.

Katanya, ramai pekerja khususnya di bandar besar terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Gaji kerajaan tidak terlalu tinggi, bonus dan ransangan masih diperlukan terutamanya macam saya bekerja di Kuala Lumpur, makan tengah hari pun paling murah RM10,” katanya.

Sementara itu tinjauan SatuBerita di media sosial ramai netizen yang sangsi dengan tindakan kerajaan dan menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam sebagai pilihan raya umum semakin dekat.

“Beri gula-gula untuk mendapat sokongan, sebab PRU15 semakin dekat kan?” kata Chan Tee Teh sinis.

Kamarul Afizi pula berkata kenaikan itu bakal disusuli dengan pelbagai cukai yang akan dikenakan kepada rakyat.

“Semua kenaikan bakal dikenakan cukai dan lain yang diminta lain yang dapat,” katanya.

Aqidah Isa pula berpendapat inisitatif yang ditawarkan seperti tidak mencukupi disebabkan kos sara hidup yang tinggi.

“RM 100 sahaja … beli barang dapur sekali di pasar raya terus habis sudah,” katanya

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon mengumumkan enam inisiatif baharu yang bakal memberi manfaat kepada lebih 1.28 juta penjawat awam seperti bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.