25 pesalah muda ditawarkan sambung belajar di UPSI

0
370

JABATAN Penjara Malaysia (JPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani Nota Kerjasama untuk penajaan Program Pengajian Diploma Keusahawanan bagi memberi peluang kedua kepada 25 pesalah muda yang berpotensi dalam bidang akademik yang layak dari penjara seluruh Malaysia. 

Yuran pengajian berjumlah RM259,500 dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat & Sedekah UPSI dengan peruntukan sebanyak RM10,380 untuk seorang pelajar yang dijangka akan memulakan pengajian pada September 2022 secara sepenuh masa selama dua tahun (enam semester) di Sekolah Integriti Penjara Kluang, Johor. 

Pemilihan pelajar berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. 

Nota Kerjasama tersebut ditandatangani oleh Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad, dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, semasa Majlis Penutupan Mesyuarat Ketua-Ketua Institusi JPM di Bangi Resort Hotel pada petang Selasa. 

Nordin Muhamad menerusi satu kenyataan berkata, beliau yakin dan percaya dengan adanya peluang itu, mampu mempengaruhi perkembangan potensi golongan penghuni untuk kekal, untuk tidak kembali melakukan kesalahan selepas dibebaskan.

Program ini selaras dengan hasrat JPM untuk menjadikan penjara sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Manusia dan peluang pembelajaran ini dapat memberi peluang pendidikan kedua sebagai salah satu langkah persediaan mencari peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan dan dapat meneruskan kelangsungan hidup apabila dibebaskan. 

JPM dan UPSI berharap inisiatif ini akan membuka laluan dan peluang kepada ramai dermawan di luar sana untuk menyumbang bagi menjayakan program sebegini pada masa akan datang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here