PRU-15: UMNO bakal terjun dalam lubang digali sendiri

0
211

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Rosol Wahid berpendapat UMNO akan terjun ke dalam lubang digali sendiri apabila mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 disegerakan.

Menurutnya terlalu banyak masalah rakyat belum diselesaikan dan mengadakan PRU pada ketika ini bukan masa sesuai kecuali ada agenda lain.

“Masalah-masalah ekonomi, harga barang belum selesai, Covid-19 pun sama. Kemudian isu buruh asing, memang banyak masalah. Jadi seolah-olahnya kalau buat (PRU-15) sekarang, saya rasa dia seolah-olah macam gali lubang, terjun sendiri.

“Tapi bagi orang yang ada agenda lain dikira ini masa terbaik. Walhal itu bukan terbaik pun. Mungkin lepas pada ini lebih teruk lagi. Tak ada orang tahu.

“Dia ada dua kemungkinan, mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP Kedah di Kolej Vokasional Langkawi, di Langkawi, pada Ahad.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata desakan UMNO supaya PRU dipercepatkan dipercayai dibuat untuk menyelesaikan isu yang dihadapi Kluster Mahkamah membabitkan pemimpin parti terbabit.

Bagaimanapun, Rosol yakin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih memahami masalah yang dihadapi kerana mempunyai ‘bird’s eye view’ mengenai isu yang melanda negara.

“Pemimpin ini dia tengok macam bird’s eye view seperti burung. Dia tengok semua sekali di mana ada lurah, di mana ada bukit, di mana ada lembah dan sebagainya dia tahu.

“Orang lain (hanya) tengok ke atas, jadi tak tahu masalah,” tambahnya seperti dilaporkan Agenda Daily.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here