Penghantar makanan ditetak buruh dengan parang

0
467

SEORANG penghantar makanan diserang dan ditetak seorang lelaki yang menuntut hutang bayaran kerja dengannya menggunakan parang dalam kejadian di Jalan Mulia 1/1, Taman Mulia Jaya, di Ampang Jaya, semalam.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 41 tahun bersama rakannya berada di sebuah kedai di lokasi kejadian pukul 7.10 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa kemudian melihat suspek memegang parang panjang lalu mengejarnya sebelum ditetak menggunakan senjata itu.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian lengan kiri serta kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

“Kejadian itu dipercayai berlaku kerana mangsa menuntut hutang bayaran kerja daripada suspek menyebabkannya tidak berpuas hati dengan tuntutan terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang berkerja sebagai buruh di Taman Dagang, di Ampang Jaya, kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Kami turut merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah,” katanya.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here