Najib pegang banyak jawatan untuk lakukan jenayah dalam SRC – Pendakwa

0
247

MAHKAMAH Persekutuan di sini pada Khamis diberitahu bahawa semua tindakan yang diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd adalah bagi mencapai hasrat peribadi beliau bagi mendapat perolehan secara salah bagi dirinya, dan kerugian secara salah kepada syarikat itu.

Pendakwa ad hoc Datuk V.Sithambaram berhujah bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan perayu (Najib) bertindak bagi melindungi atau memelihara kepentingan SRC, sebagaimana yang dipertanggungjawabkan kepadanya secara undang-undang.

Pendakwa ad hoc Datuk V.Sithambaram

“Najib adalah perdana menteri, menteri kewangan, dan juga penasihat emeritus syarikat itu. Ia ketara dan jelas bahawa dia menggunakan semua kedudukannya itu bagi mendapatkan perolehan kewangan menerusi pinjaman RM4 billion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Hasrat perayu melakukan jenayah dilaksanakan dengan cara dia memegang pelbagai jawatan berbeza.

“Apa yang dirancang oleh perayu terhadap wang berbilion yang dibekukan di Swiss bank, tiada siapa yang tahu. Ia adalah ‘mens rea’ (niat) perayu melaksanakan hasrat jenayah dalam pelbagai kedudukannya, yang membolehkan perayu melakukan tujuh kesalahan sebagaimana dakwaan keatasnya,” katanya pada pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau berkata sememangnya niat tunggal perayu adalah untuk melakukan jenayah dalam pelbagai peranan yang dimainkan olehnya dalam pentadbiran negara, dan dalam SRC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here