Anak buruh kasar cemerlang STPM 2021

0
248

KEGIGIHAN seorang anak buruh kasar yang mahu mengubah nasib keluarganya membuahkan hasil apabila meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan hari ini.

Halimatus Sa’diyah Abdul Faal, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini berjaya memperoleh keputusan 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengajian Am, Geografi dan Ekonomi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Menurut Halimatus Sa’diyah kejayaan diperoleh amat bermakna buat dirinya dan keluarga memandangkan bapanya Abdul Faal Ibrahim, 53, hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak menentu manakala ibunya Saleha Ashaari, 48, pula berniaga makanan dan minuman secara kecil-kecilan di depan rumah bagi menampung kehidupan mereka 10 beradik.

“Kehidupan kami memang susah kerana ayah kerja tak menentu sedangkan kami 10 beradik semuanya masih bersekolah. Kadang-kadang belanja sekolah terpaksa dicatu.

“Malah setiap hari, ayah terpaksa berulang alik beberapa kali sejauh 40 kilometer dari rumah di Kijal untuk menghantar saya serta adik-beradik yang lain ke sekolah dengan motosikal usang. Jika ada kelas tambahan, ayah terpaksa pula bergegas dari tempat kerja untuk memastikan kami tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2021, di SMK Sultan Ismail di sini hari ini.

Bagaimanapun, kesusahan tersebut tidak menjadikannya lemah, malah anak sulung itu menjadikan ia sebagai motivasi untuk lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya.

“Semua kejayaan hari ini adalah hasil pengorbanan ibu bapa siang dan malam serta berkat bantuan guru serta rakan. Saya tidak lupa jasa mereka dan akan terus berusaha mengejar impian bergelar seorang guru,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang sekolah tersebut, Irene Ong Ching Shing, 21, berkata dia amat berterima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan yang banyak memberi motivasi dan membantunya dalam pelajaran.

Kata Irene, kejayaan tersebut sememangnya tidak dijangka kerana dia agak lemah dalam pelajaran dan pernah memasuki kelas peralihan sebelum dapat naik ke Tingkatan Satu.

“Guru-guru dan kawan-kawan banyak membantu terutama dalam subjek Bahasa Melayu yang paling sukar bagi saya. Kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan cita-cita sebagai pemberita,” katanya yang berasal dari Kampung Binjai di sini.

Seperti Halimatus Sa’diyah, Irene turut memperoleh keputusan 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengajian Am, Geografi dan Ekonomi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here