GTA nafi mahu pecah belahkan Melayu, tidak bekerjasama dengan ‘penjenayah Melayu’

0
255

Gerakan Tanah Air (GTA) menafikan tuduhan bahawa penubuhan gagasan politik itu bakal memecah belahkan orang Melayu.

Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun gerakan itu mengakui tidak boleh menyatukan semua orang Melayu, khususnya mereka yang terpalit dengan kes jenayah.

Bekas Perdana Menteri itu yakin GTA yang terdiri daripada empat parti tonggak itu mampu membawa perjuangan Melayu dan bangsa.

Empat parti tonggak GTA iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

“Tuduhan kita memecah-belahkan orang Melayu adalah tidak benar.

“Kita akui kita tak boleh satukan orang Melayu yang ada tuduhan jenayah… curi duit. Itu tak ada (dalam GTA).

“GTA hanya dianggotai oleh mereka yang tak terlibat dengan jenayah, mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu, negara dan untuk agama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Khamis seperti yang dilaporkan Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Pengerusi Pejuang itu berkata melalui penubuhan GTA, pertembungan sesama calon Melayu pada pilihan raya akan datang dapat dielak.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, GTA akan menyokong mana-mana calon daripada empat parti tersebut yang dicalonkan dalam pilihan raya kelak.

“Jadi sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti poltik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri dan kali ini kita tidak berlawan sesama kita,” ujar Dr Mahathir.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here