Tanpa sokongan PN, UMNO tak dapat jadi kerajaan – Hamzah

0
391

PEMIMPIN UMNO yang menggesa untuk mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), ditegaskan untuk tidak lupa bahawa parti itu mampu untuk membentuk kerajaan adalah kerana sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekiranya gesaan dari UMNO untuk mengadakan PRU15 lebih awal berterusan, PN tidak akan teragak-agak untuk ‘mengambil alih kuasa’.

Beliau juga mengingatkan mereka yang meminta PN menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya jangan sombong dan angkuh.

“Dia naib presiden parti itu pun boleh jadi Perdana Menteri. Bukan presiden mereka, bukan timbalan presiden mereka, tetapi naib presiden mereka. Mana mungkin naib presiden boleh jadi Perdana Menteri tanpa sokongan PN?

“Jadi yang angkuh ini pasal apa? Sudah engkau kira betul-betulkah? Sudah engkau buat bancian yang betul-betul?” katanya, lapor FMT.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perasmian Persidangan Bersatu Wilayah Persekutuan pada Jumaat.

Selain itu, Ahli Parlimen Larut itu melihat bahawa UMNO akan menghadapi kesukaran dalam pilihan raya akan datang sekiranya strategi yang dirangka PN dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Kalau strategi kita mengena, in shaa Allah mereka tidak boleh menang lebih daripada 50 kerusi. Yang konon-kononnya nak mencabar kita pasal apa?” katanya.

Meskipun PRU-15 hanya perlu diadakan menjelang September 2023, sikap segelintir pemimpin UMNO mendesak agar ia disegerakan adalah berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

Julai lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata Oktober atau awal November merupakan masa sesuai untuk mengadakan PRU-15 kerana pembentangan bajet dapayt diawalkan sebelum Parlimen dibubarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here