Serbuan kediaman Trump: FBI rampas 11 rekod sulit

0
184

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapatkan semula dokumen yang dilabelkan sebagai “rahsia besar” selepas serbuan di premis milik bekas presiden Donald Trump di Mar-a-Lago, Florida, Amerika Syarikat (AS).

Menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan pada Jumaat, ejen FBI telah mengambil 11 set rekod sulit daripada serbuan dilakukan Isnin lepas, lapor Astro AWANI.

Dokumen yang dirampas termasuk beberapa yang ditanda bukan sahaja maklumat rahsia, tetapi dalam kategori maklumat sensitif iaitu kategori khas yang bertujuan melindungi rahsia paling penting negara. Sekiranya didedahkan secara terbuka, ia boleh menyebabkan kerosakan ‘sangat teruk’ kepada kepentingan AS.

FBI sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran tiga undang-undang persekutuan yang berbeza termasuk satu yang mengawal pengumpulan, penghantaran atau kehilangan maklumat pertahanan di bawah Akta Pengintipan.

Akta lain ialah penyembunyian, pencacatan atau penyingkiran rekod, pemusnahan, pengubahan atau pemalsuan rekod dalam penyiasatan persekutuan.

Dokumen mahkamah itu juga menunjukkan FBI mengumpul rekod lain, termasuk perintah pengampunan sekutu Trump, Roger Stone dan maklumat tentang “Presiden Perancis.”

Ini termasuk nota tulisan tangan yang bertulis “pelbagai dokumen rahsia” dan “pelbagai dokumen sulit” turut dirampas dalam serbuan.

Peguam Trump, Christina Bobb, hadir ketika FBI melakukan serbuan.

Dalam satu kenyataan awal pada Jumaat, Trump mendakwa dokumen yang dirampas FBI “semuanya telah didedahkan,” dan mendakwa beliau akan menyerahkannya jika diminta Jabatan Kehakiman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here