PM sudah bertemu wakil Perikatan Nasional

0
227

SATU pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan wakil Perikatan Nasional (PN) sudah diadakan pada 4 Ogos lalu, iaitu pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, PN diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Bendahari, Datuk Seri Samsuri Mokhtar.

“Mereka sudah sampaikan pandangan mereka dan saya pun sudah sampaikan pandangan saya. Setakat itu sajalah, jadi Bersatu akan bincang sesama mereka dalam Bersatu,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pavilion Pahang di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Sabtu.

Selain itu, beliau turut berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi.

“Saya sudah beritahu, jadi perkara itu tidak perlu dibangkitkan. Tumpuan kita adalah untuk selesaikan isu rakyat dan pulihkan ekonomi.

“Saya ingat rakyat nak dengar lebih mengenai perkara itu. Biar kita fokus perkara yang menyentuh rakyat, itu lebih penting,” katanya.

Sebelum ini, PN dilaporkan kecewa dengan Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh memenuhi beberapa terma penting terkandung dalam perjanjian itu.

Susulan itu, Hamzah dilaporkan berkata, PN akan menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian terkandung dalam perjanjian antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here