Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri

0
237

SEORANG individu paling dikehendaki kerajaan Arab Saudi bertindak meletupkan diri yang mengakibatkan kematiannya ketika cuba ditahan pasukan keselamatan di Jeddah Rabu lalu dalam satu kejadian kejar mengejar.

Tindakan suspek, Abdullah bin Zayed al-Bakri al-Shehri, 39, yang juga rakyat tempatan meletupkan dirinya mengakibatkan seorang rakyat Pakistan dan tiga anggota keselamatan cedera akibat terkena serpihan bom.

Menurut laporan Saudi Gazette, Abdullah dipercayai merupakan ahli kumpulan Daesh selain merupakan salah seorang daripada sembilan individu terlibat dalam serangan ke atas sebuah masjid di Arab Saudi pada 2015.

Serangan itu telah mengorbankan seramai 15 orang yang kebanyakannya adalah anggota polis, yang berada di dalam masjid berhampiran sempadan Yemen.

Menurut kenyataan Presidensi Keselamatan Negara yang disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA), warga Pakistan dan pegawai yang cedera sudah dipindahkan ke hospital tempatan di mana mereka menerima rawatan.

Katanya, pihaknya mengulangi penegasan untuk sedia menangani ancaman mana-mana pihak yang memberi ancaman kepada keselatan dan ketenteraman negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here