Tanding di Tambun: Anwar mungkin bimbang ditolak pengundi Port Dickson

0
283

TINDAKAN Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mencari kerusi selamat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) mungkin didorong rasa bimbang akan ditolak pengundi Parlimen Port Dickson.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya kebimbangan berkenaan menyebabkan Anwar menimbang kemungkinan bertanding di kerusi dimenanginya pada PRU lalu.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu secara sinis juga berkata, Anwar kini mengintai kerusi Parlimen baharu kerana beliau telah menyelesaikan semua masalah penduduk Permatang Pauh dan Port Dickson.

“Mungkin mereka (PKR) berpandangan bahawa Permatang Pauh dan Port Dickson telah membangun dengan amat hebat, tiada lagi masalah rakyat yang perlu dibantu.

“Ataupun, beliau bimbang ditolak di tempat sendiri maka pilihan yang lebih selamat adalah dengan menjadi Ahli Parlimen nomad (berpindah-randah),” kataya memetik laporan Malaysiakini.

Semalam, Anwar yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh mengesahkan sedang mempertimbangkan cadangan supaya beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

Anwar turut berkata, cadangan itu telah diusulkan kepadanya namun keputusan belum lagi boleh diputuskan kerana fokus parti ketika ini adalah berkaitan jumlah kerusi dan jentera pilihan raya terlebih dahulu.

“PKR bahagian Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan lagi. Kawan-kawan di Port Dickson pula merayu minta saya kekal di sana. Saya kena fikir dahulu,” kata Anwar yang juga ketua pembangkang.

Oktober lalu, Ketua PKR Bahagian Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dilaporkan mahu memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi berkenaan dan keputusan itu juga dikatakan dipersetujui di peringkat akar umbi menerusi mesyuarat agung tahunan bahagian sebelum ini.

Pada PRU-14, Ahmd Faizal menang kerusi Tambun di bawah tiket Pakatan Harapan dan menewaskan penyandangnya Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah daripada BN dengan majoriti 5,320 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here