Pukul dengan getah paip, batang buluh sebelum kurung isteri

0
253

SEORANG wanita disimbah dengan air di muka, dipukul dengan getah paip, batang buluh dan wayar telefon sebelum dikurung dalam bilik dalam kejadian di sebuah rumah di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, semalam.

Perbuatan itu dilakukan suami wanita berkenaan selepas membelasahnya di hadapan dua anak perempuan mereka di rumah mereka pada pukul 12 tengah hari.

Difahamkan suspek yang hilang pekerjaan ketika pandemik Covid-19 sering bergaduh dan memukul isterinya sebelum ini.

Sebelum kejadian wanita berusia 29 tahun itu berselisih faham dengan suaminya berumur 20-an.

Menurut sumber, dalam pertengkaran itu, lelaki terbabit menyimbah muka mangsa dengan air suam dan terus memukulnya.

“Lelaki itu yang gagal mengawal kemarahan bertindak memukul mangsa dengan getah paip, batang buluh dan wayar telefon.

“Selepas memukulnya, lelaki itu mengurung isterinya bersama dua anak perempuan di dalam bilik tidur.

“Anaknya kemudian menghubungi ahli keluarga lain sebelum memaklumkan kepada polis yang datang tidak lama kemudian menyelamatkan mereka,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek sudah ditahan semalam.

“Kejadian berlaku akibat perselisihan faham dan suspek tidak bekerja sejak pandemik Covid-19.

“Mereka sering bergaduh dan dipukul suaminya namun tidak membuat laporan polis sebelum ini,” katanya.

Ashari berkata, suspek direman sehingga 14 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Keganasan Rumah Tangga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here