MIC belum bincang permohonan PBM sertai BN

0
357

MIC belum melihat atau membincangkan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyertai Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan.

“Setakat ini, tiada sebarang perbincangan di peringkat MIC berhubung permohonan PBM masuk BN.

“Kita belum lagi lihat permohonan itu, bila tak lihat permohonan, bagaimana nak bincang?” katanya selepas melancarkan pinjaman patuh syariah (PLK-i) Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran di Pusat Dagangan Dunia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MIC bersetuju menerima kemasukan PBM dalam BN, lapor FMT.

Selasa lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, gabungan itu akan membuat keputusan berhubung permohonan PBM selepas mesyuarat Dewan Tertingginya pada minggu depan.

Susulan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil pada Selasa lalu berkata, kerjasama dengan parti seperti PBM dan DAP tidak mungkin dijalin kerana mereka terdiri daripada “penipu dan pengkhianat”.

Beliau berkata, langkah menerima parti itu akan menyebabkan pengundi Melayu “tawar hati” dengan BN atau Umno dan berpaling ke arah parti lain seperti gabungan terbaharu diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad, Gerakan Tanah Air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here