Amar Singh nafi dakwaan bawa teman wanita dalam serbuan rumah Najib

0
369

BEKAS pegawai polis berpangkat tinggi, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menafikan dakwaan bahawa teman wanitanya hadir dalam serbuan di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2018 dan mengambil sebuah beg yang dirampas pihak polis.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin yang dikenali sebagai RPK di portal Malaysia Today.

Menyifatkan rampasan di rumah Ahli Parlimen Pekan itu sebagai “serbuan terbesar dalam sejarah polis”, Amar berkata, rekod terperinci dibuat berhubung barangan yang dirampas polis dan tiada wanita awam berada di sana atau sebarang barang dikeluarkan.

Beliau dalam kenyataan berkata, serbuan itu dijalankan bersama beberapa timbalan dan penolong pengarah polis serta kira-kira 70 pegawai dari pelbagai jabatan seperti JSJK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Tindakan Khas (UTK).

Katanya, beliau sengaja menubuhkan pasukan serbuan itu yang terdiri daripada jabatan berbeza bagi mengelakkan dakwaan palsu dibuat kelak.

“Tidak mungkin ada apa-apa boleh melalui pasukan ini tanpa disedari sesiapa. Lebih-lebih lagi pasukan ini baru bertemu pada hari serbuan dijalankan. Oleh itu, tiada kemungkinan untuk menutup sebarang konspirasi.

“Tambahan, keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh oleh pasukan bebas dari JSJ. Gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.

“Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai ‘ilmu ghaib’ dan tidak kelihatan,” katanya.

Selain itu, beliau turut berkata bangunan yang diserbu itu dilengkapi lebih daripada 100 kamera litar tertutup (CCTV) dan lebih 50 wartawan berkumpul di lobi, yang merupakan satu-satunya pintu keluar ketika itu.

“Tiada wartawan melihat seorang wanita awam berjalan keluar dari serbuan itu dengan beg pakaian besar seperti didakwa. Jelas sekali dakwaan Raja Petra palsu sama sekali,” katanya.

Tambah Amar, beberapa pegawai kanan lain akan turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung dakwaan tersebut.

Amar turut menafikan dakwaan beliau berhijrah ke Kanada dan memaklumkan penulis blog itu dirinya “masih berada di Malaysia dan akan terus tinggal di negara ini sehingga mati.”

Pada Mei 2018, Amar telah mengetuai serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib selepas Barisan Nasional (BN) tumpas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Serbuan itu telah mendapati terdapat wang tunai berjumlah RM116.7 juta yang ditemui dalam 35 beg yang dirampas dari premis-premis itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here