Firma Zaid nafi tarik diri jika rayuan Najib mengenai kes SRC diteruskan

0
244

PASUKAN peguam baharu Datuk Seri Najib Razak tidak akan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu sekiranya mahkamah persekutuan memutuskan untuk meneruskan pendengaran rayuan berhubung kes rasuah SRC International minggu depan.

Menurut Peguam Zaid Ibrahim, pihaknya hari ini menafikan laporan media yang mendakwa firma itu akan menarik diri daripada kes itu jika perkara itu berlaku semasa pengurusan kes pada Rabu lalu.

Pengurusan kes itu adalah berkaitan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru bagi membatalkan sabitan terhadap tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC.

“Saya tidak pasti siapa sumber laporan media itu. Walau apa pun, laporan itu tidak betul dan tidak tepat.

“Firma saya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, tidak membuat sebarang kenyataan semasa perbicaraan pengurusan kes di kamar bahawa firma ini akan menarik diri sebagai peguam cara. Kami tidak meninggalkan anak guam kami.

“Sebarang laporan media yang menyatakan sebaliknya adalah nakal dan dikesali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

Zaid berkata,firmanya telah mengambil kes itu kerana Najib mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitan terhadapnya.

Dia menambah firma itu bersedia untuk meneruskan perbicaraan pada Isnin, dan akan terus mewakili Najib selagi mendapat kepercayaan ahli parlimen Pekan itu.

Isnin depan, Mahkamah Persekutuan ditetapkan untuk pertama kali mendengar permohonan bukti baru, diikuti rayuan utama berhubung kes SRC yang turut menyentuh mengenai hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.

Mahkamah sebelum ini menolak permohonan pasukan peguam baru Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan.

Dilaporkan bahawa semasa pengurusan kes yang dijalankan dalam talian, mahkamah telah memaklumkan peguam Najib dan pihak pendakwaan bahawa sekiranya ia menolak permohonan bukti baru pada Isnin, maka rayuan utama mengenai kes SRC akan diteruskan.

Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dikatakan telah menyatakan kepada mahkamah bahawa mereka tidak bersedia untuk meneruskan rayuan prosiding utama kerana ia melibatkan isu besar dan memerlukan lebih masa untuk persiapan.

Dilaporkan bahawa peguam juga memaklumkan kepada mahkamah jika prosiding rayuan utama diteruskan, mereka tidak mempunyai pilihan selain menarik diri daripada mewakili Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here