Polis berjaya berkas peragut bersiri

0
228

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS semalam berjaya memberkas seorang lelaki yang aktif melakukan ragut di sekitar kawasan Johor Jaya dan Taman Pelangi, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian terbaharu suspek meragut beg tangan seorang wanita warga emas yang sedang berjalan kaki di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya.

Terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang berusia 62 tahun.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 2 petang, 4 Ogos lalu, suspek yang menaiki motosikal meragut mangsa dari arah belakang semasa wanita itu sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

“Akibat kejadian tersebut mangsa telah mengalami lebam di bahagian bahu sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 3.37 petang semalam, sepasukan anggota dari Cawangan Risikan dan Operasi (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menjejaki suspek.

Menurutnya, suspek yang berusia 26 tahun berjaya ditahan di sebuah bilik sewa sekitar Taman Molek di Johor Bahru.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk dua rekod orang yang dikehendaki,” katanya.

Pihaknya turut merampas antaranya sebuah motosikal Honda Dash; empat telefon bimbit pelbagai jenama, beg silang warna hitam; dua resit tukaran wang asing; seutas rantai tangan emas dan dua pasang anting-anting emas.

“Menerusi tangkapan ini kita berjaya menyelesaikan tiga kes ragut tepi jalan yang berlaku sekitar Johor Jaya dan Taman Pelangi,” katanya.

Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan manakala suspek direman enam hari mulai Jumaat hingga 16 Ogos ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here