Parti liar: Datuk Seri antara 25 individu ditahan

0
57

SERAMAI 25 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri dipercayai penganjur parti liar ditahan di sebuah banglo di Janda Baik, Bentong awal pagi Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 17 warganegara tempatan dan 8 warganegara asing.

“Pada 11 Ogos 2022, jam lebih kurang 1.00 pagi, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah banglo yang disewa bertempat di kawasan Janda Baik, Bentong, Pahang.

“Dalam serbuan dan pemeriksaan tersebut, polis telah menjumpai dan merampas dadah dipercayai jenis ketamine seberat 2.18 gram dan pil ecstacy seberat 1.43 gram dengan anggaran jumlah rampasan bernilai RM800,” jelasnya dalam satu kenyataan media seperti dilaporkan Astro AWANI pada Khamis.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun.

Ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 14 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

“Saya memberi amaran keras bahawa tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di Daerah Bentong dan akan mengambil tindakan tegas,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat sehingga kegiatan itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here