PRU-15: Terengganu teliti, timbang kesesuaian waktu bubar DUN – MB

0
257

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan dilakukan mengikut kesesuaian sekiranya Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membayangkan tidak semestinya DUN Terengganu akan mengikut langkah pembubaran Parlimen untuk PRU-15 dan kerajaan negeri akan menimbang terlebih dahulu.

“Ia bergantung kepada kesesuaian dan waktu untuk memutuskan demikian. Perkara inin perlu diteliti dan diperhalusi kerana ia antara sebahagian daripada strategi.

“Tengok waktu dan ketika, adakah ia sesuai atau tidak. Jadi, ia masih lagi ‘open ended’ jawapannya. Kita tengok waktu yang sesuai.

“Ia juga sebahagian daripada taktikal dan strategi,” katanya memetik laposan Astro Awani, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam.

Ditanya jika Pas tetap dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah sehingga tamat tempohnya, Naib Presiden Pas itu menegaskan, ia akan ditentukan apabila sampai waktunya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan PRU15 lebih awal, jika Perikatan Nasional (PN) berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Terdahulu, PN dilaporkan bercadang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis antara Ismail Sabri dan PN, dibatalkan pada saat akhir.

PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here