Bersatu fokus bantu rakyat

0
277

Oleh BADLISHAH MAT

NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, Bersatu adalah parti yang paling kurang berpolitik kerana mahu memberi fokus untuk membantu rakyat.

Malah, Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan menyedari setiap saat begitu bernilai kepadanya kerana tidak mengetahui berapa lama akan terus memegang jawatan itu.

“Di peringkat parti bila disebut tentang perkara yang dijanjikan tidak dipenuhi, ia menimbulkan rasa tersentuh dalam kalangan penyokong parti.

“Tapi pada masa sama parti ini adalah parti yang baik, bersopan santun dan meletakkan kedudukan rakyat melebihi segala-galanya.

“Apa yang penting adalah untuk memberi tumpuan kepada agenda transformasi khususnya dalam konteks pendidikan,” katanya selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya di Langkawi, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan Bersatu tidak akan sewenang-wenangnya menarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan dan akan menunggu sehingga perbincangan lanjut diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu dimaklumkan oleh Radzi susulan tindakan Ismail Sabri membatalkan pertemuan saat akhir dengan Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Pertemuan itu dipercayai membincangkan isu pelantikan wakil Bersatu bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang didakwa telah dipersetujui oleh Ismail Sabri sebelum beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here