Bersatu Kedah bidas Ahmad Zahid galak ahli BN ambil duit rakyat

0
284

BERSATU Kedah membidas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengalakkan ahli mereka untuk mengambil duit rakyat.

Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani berkata tindakan Zahid itu satu contoh sikap dan teladan yang tidak baik dimana pemimpin BN seolah-olah tidak simpati dan empati dengan nasib rakyat di bawah.

“Malah sanggup untuk menyelewengkan wang rakyat demi kepentingan politik mereka dan terbuka tanpa berselindung,” katanya dalam satu kenyataan.

Dzowahir juga mempersoalkan apa maksud Zahid ambillah mana-mana yang sempat semasa beliau berucap di dalam konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata rakyat perlu faham pendapatan utama negara datangnya dari komponen cukai yang menjadi penyumbang utama pendapatan Kerajaan Persekutuan.

“Iaitu 73.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala 26.4% darinya dari hasil bukan cukai seperti lesen dan permit serta pendapatan pelaburan.

“Peratusan besar pendapatan negara datangnya dari hasil titik peluh rakyat untuk memastikan masa depan mereka terjamin dalam sebuah negara maju bukannya untuk difaraidkan di kalangan pemimpin atau ahli politik dalam negara,” katanya memetik laporan Berita Bersatu.

Tambahnya lagi, hasil daripada cukai sepatutnya digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga bagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.

“BN berani dan tidak malu hari ini kerana pada anggapan mereka rakyat tidak kisah dan menerima mereka seadanya sebagai contoh kemenangan di PRN Melaka dan Johor.

“Oleh itu rakyat perlu sedar, beras dan telur atau RM50 yang diterima oleh rakyat hanya melegakan buat seketika waktu namun rompakkan yang mereka (BN) buat terhadap negara akan memberi kesan yang panjang dan akan ditanggung oleh anak cucu kita di masa hadapan kelak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here