‘Ini bukan kapal pancing ikan, ini kapal tempur’– Armada mahu Najib-Zahid bertanggungjawab

0
239

DATUK Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab ketika pernah menjadi Menteri Pertahanan dalam kepincangan berhubung projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), baru-baru ini.

Ketua Armada Bersatu Malaysia Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata tindakan ini satu pengkhianatan apabila cuba untuk menggadaikan kedaulatan negara yang melibatkan kos sebanyak RM6 bilion lesap.

Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat laporan yang didedahkan PAC.

“Order barang lain, dapat barang lain! Ini bukan kapal pancing ikan, ini kapal tempur jaga kedaulatan negara! RM 6 bilion HANGUS! #NajibRazak dan #ZahidHamidi perlu bertanggungjawab!

“Malaysia adalah sebuah negara maritim, sempadan negara kita dikelilingi oleh perairan yang pelbagai. Kapal tempur pesisir ini amat penting untuk melindungi kedaulatan negara kita.

“Kalau dah tak siap, duit dah keluar, siapa yang menggadaikan kedaulatan? Siapa yang khianat dalam menjaga kedaulatan? Kalau bukan orang-orang ini yang saya sebutkan tadi namanya, Najib Razak dan Zahid Hamidi.

“Kamu bising, berteriak pasal Sulu tapi dalam hal ini kamu senyap, kamu bacul dalam bercakap!” katanya.

Dalam satu kenyataan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggesa mana-mana pihak yang terlibat dalam kepincangan berhubung projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), didakwa.

Menurut TLDM, ini berikutan perolehan LCS itu merupakan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

Katanya, keupayaan tempur yang perlu dimiliki TLDM mestilah sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

Justeru, katanya, TLDM mengalu-alukan syor yang dikemukakan PAC dan mahukan hala tuju terbaik bagi projek pembinaan berkenaan.

“TLDM amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk meneruskan projek ini kerana ia merupakan keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara.

“TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan di dalam projek ini disiasat, seterusnya pihak-pihak yang terbukti terbabit dengan perkara ini dibawa ke muka pengadilan seberapa segera.

“Sebagai pengguna akhir, kelewatan pelaksanaan projek ini telah memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur armada TLDM, malahan kepada morale warga TLDM yang memerlukan kapal-kapal LCS ini untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan,” kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here