Kes penceramah bebas disyaki rogol remaja diserah kepada polis Perak

0
315

PENCERAMAH bebas yang disyaki merogol seorang remaja berumur 14 tahun diserahkan kepada polis Kontinjen Perak semalam, untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata ini susulan tempoh reman terhadap lelaki berusia lingkungan 30 an itu tamat semalam.

“Individu itu telah dihantar ke Perak atas keperluan siasatan lanjut kes di sana dan kita akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Pada 18 Julai lepas, penceramah bebas itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

Setakat ini terdapat empat laporan polis membabitkan individu itu iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here