22 kakitangan awam rasuah di Melaka dikenakan tindakan

0
276

KETUA Menteri Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sehingga kelmarin, seramai 22 penjawat awam pelbagai peringkat di Melaka sudah dikenakan tindakan selepas disahkan terbabit dengan rasuah.

Katanya, daripada jumlah itu, 13 orang daripadanya ditahan pada tahun lalu manakala selebihnya tahun ini.

“Jumlah yang terbabit rasuah itu kurang satu peratus daripada 5,675 penjawat awam di negeri ini, namun ia mampu memberi kesan negatif kepada nama baik kerajaan negeri.

“Saya berharap semua penjawat awam supaya lebih menitikberatkan integriti dalam menjalankan tugas selain mempertingkatkan kualiti kerja demi kepentingan negeri dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Negeri Melaka (MACP) 2022-2026 sempena perhimpunan bulanan penjawat awam negeri di Auditorium Seri Negeri, di Melaka, semalam.

Menurutnya, tindakan tegas termasuk menamatkan perkhidmatan akan dikenakan ke atas penjawat awam yang disahkan bersalah dalam kegiatan rasuah di Melaka.

Sulaiman berkata, penjawat awam yang terpalit secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan rasuah bakal berhadapan dengan tindakan sejajar kesalahan dilakukan.

“Kerajaan negeri tidak akan berkrompomi dengan penjawat awam yang didapati menggunakan kedudukan atau pengaruh untuk mengambil rasuah,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here