Kes dua remaja mati dalam Alphard tiada kaitan penghuni kondo-Polis

0
314

POLIS mendapati dua remaja yang ditemukan mati dalam Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 29 Mei lalu, tiada kaitan dengan mana-mana penghuni kondominium berkenaan.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, ini berdasarkan siasatan dan rakaman keterangan lebih 15 individu sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

Pihaknya setakat ini mendapati kedua-dua mangsa tiada kena-mengena dengan pemilik parkir atau penghuni di kondominium itu.

“Kita sudah merakam keterangan ramai pihak termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa, kenalan mereka, pihak kondominium dan individu sekelilingnya yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Semua keterangan itu perlu untuk kita mendapatkan kesimpulan kes bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim GAMBAR: Warta Rakyat

Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia mengenai punca kematian dua remaja terbabit.

Beliau berkata, laporan itu mengambil masa memandangkan ia membabitkan agensi berbeza.

Sebelum ini media melaporkan, polis menerima laporan kehilangan dua remaja yang masing-masing dibuat ahli keluarga di Klang dan Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Mei lalu.

Dua remaja itu kemudian ditemukan meninggal dunia dalam Toyota Alphard hasil maklumat daripada orang awam pada pukul 8.26 malam.

Siasatan di lokasi menemukan mayat remaja perempuan di bahagian penumpang hadapan, manakala lelaki terbabit berada di bahagian penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here