‘Najib terdesak, dakwaan terhadap Nazlan tidak berasas’ – Pendakwaan

0
209

BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan percubaan yang terdesak untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd dengan membangkitkan dakwaan tidak berasas terhadap Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang tidak dapat membela dirinya sendiri, demikian ditegaskan pihak pendakwaan.

Mohd Nazlan ialah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana SRC.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul melalui afidavit jawapannya berkata isu konflik kepentingan membabitkan Nazlan seperti yang didakwa Najib sepatutnya boleh dibangkitkan ketika perbicaraan, tetapi bekas perdana menteri itu memilih untuk tidak berbuat demikian kerana isu berkenaan adalah tidak sah.

Beliau berkata, pendakwaan selaku responden menyatakan bahawa tidak ada konflik kepentingan apabila Nazlan mendengar perbicaraan kes SRC, malah Najib membuat pengakuan bahawa tiada dakwaan rasuah terhadap hakim itu, tetapi hanya sama ada wujudnya konflik kepentingan apabila apabila beliau (Nazlan) mendengar perbicaraan kes terbabit.

Katanya, dakwaan pembabitan Nazlan dalam kapasiti sebelumnya sebagai Ketua Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank dalam pinjaman RM140 juta kepada Puncak Perdana Sdn Bhd dan RM4.17 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak dibuktikan dan sangkaan semata-mata.

“Dalam apa jua keadaan, keterangan yang didakwa adalah tidak relevan kepada pertuduhan yang dihadapi oleh pemohon (Najib) dalam rayuan ini.

“Tujuan sebenar (dokumen berhubung dakwaan konflik kepentingan) dikemukakan, iaitu satu dokumen yang tidak bernilai, adalah untuk memburukkan Hakim Nazlan di pendapat umum sebelum pendengaran permohonan ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mohd Ashrof berkata demikian bagi menjawab afidavit sokongan lanjutan Najib dalam permohonannya untuk mendapatkan perisytiharan bahawa perbicaraan SRC batal dan tidak sah serta memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Rayuan akhir kes berkenaan akan didengar Mahkamah Persekutuan pada 15 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here