Mahkamah tolak Queen’s Counsel wakili Najib

0
193

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau peguam kanan daripada United Kingdom, Jonathan Laidlaw, untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, dalam penghakiman menerusi sidang video, berkata tidak ada keperluan untuk membawa masuk QC bagi mewakili Najib dalam rayuan akhir berkenaan.

“Laidlaw tidak dapat menunjukkan bahawa beliau memiliki kelayakan khas dan pengalaman bagi mengendalikan kes atau rayuan seperti yang dihadapi Najib.

“Peguam itu juga tidak dapat menunjukkan bahawa kelayakan dan pengalamannya tidak dimiliki oleh mana-mana peguam di negara ini bagi tujuan berkenaan,” katanya lapor BH Online.

Pada 31 Mei lalu, Laidlaw memfailkan permohonan supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di mana peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Muhammad Shafee ialah peguam itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.

Ia adalah kerana rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan novel iaitu cabang undang-undang jenayah dan sivil, amalan dan keterangan, hak perlembagaan, cara pendakwaan dijalankan oleh pihak Pendakwa Raya, penghakiman kes mahkamah jenayah oleh mahkamah perbicaraan dan pentadbiran sistem Keadilan Jenayah.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here