KDN wujud pelan komprehensif perangi jenayah rentas sempadan, pemerdagangan orang

0
324

PELAN komprehensif utama untuk kawalan sempadan akan dilaksana bagi memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan orang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Melalui pelan itu, katanya semua aset agensi keselamatan akan digabungkan bagi membolehkan kawalan di sempadan negara dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.

“Bila kata pelan komprehensif, kita akan tentukan semua aset (agensi keselamatan) yang ada di seluruh negara digabungkan.

“Selain itu, akan ada agensi sempadan tunggal dan kita akan gunakan teknologi terkini untuk kita kawal orang keluar masuk negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen Tahun 2022 di sini, hari ini.

Hamzah berkata demikian ketika mengulas tindakan yang akan dilaksana kerajaan susulan laporan Malaysia kekal pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang 2022.

Dalam laporan tersebut, ia mendedahkan kerajaan gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia.

Mengulas laporan itu, Hamzah berkata penilaian laporan itu telah dibuat secara subjektif dan juga mengambil kira pelbagai persepsi mengenai usaha Malaysia dalam menangani pemerdagangan orang.

“Laporan turut dipengaruhi oleh tindakan seperti golongan majikan dan pekerja yang terlibat dalam persekitaran eksploitasi kerja contohnya melakukan penderaan, menahan pasport, bekerja secara haram, tidak membayar gaji dan tidak menyediakan penginapan yang sesuai,” katanya.

Hamzah menegaskan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengambil tindakan strategik dan tegas bagi memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.

Antara tindakan strategik yang telah dilaksana adalah pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang berkuat kuasa pada 22 Feb lepas serta Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0).

“Pemerkasaan kerjasama sedia ada juga dibuat melalui melalui pendekatan seluruh negara dengan pelbagai pemegang taruh di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Hamzah berkata KDN dan MAPO komited untuk memelihara hak mangsa pemerdagangan orang dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat.

“Mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan berdasarkan lunas perundangan sedia ada,” katanya.

Mengenai Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, Hamzah berkata beliau terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pembangkang berhubung penambahbaikan akta tersebut.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lepas yang menolak lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Usul yang dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 36(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 105 Ahli Parlimen bersetuju manakala 83 tidak bersetuju dan 32 tidak hadir.

Susulan keputusan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan semula usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) akta berkenaan yang membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, pada persidangan kali ini.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here