ASP, Sarjan ditahan minta rasuah RM8,000

0
267

DUA anggota polis berpangkat Assisten Superintendan (ASP) dan sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah RM8,000 sebagai habuan tidak mengambil tindakan terhadap seorang peniaga yang memiliki rokok seludup.

Majistret B. Sri Pracha Nanthini mengeluarkan perintah reman terhadap mereka sehingga Khamis depan di Mahkamah Sungai Petani, hari ini.

Portal FMT melaporkan, masing-masing yang berusia 46 dan 39 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani pada 8.30 malam tadi ketika diminta hadir memberi keterangan susulan laporan yang dibuat peniaga berkenaan.

Mereka bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Pengarah SPRM negeri Shaharom Nizam Abd Manap turut mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, pegawai dan anggota polis itu telah melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan milik peniaga terbabit di Seberang Perai Selatan semalam.

“Hasil pemeriksaan didapati peniaga terbabit menyimpan sejumlah rokok seludup di premis perniagaannya dan peniaga itu diminta menyerahkan wang RM8,000 bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Bagaimanapun selepas menyerahkan wang diminta, peniaga terbabit membuat laporan kepada pegawai SPRM menyebabkan mereka dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan kes terbabit sebelum ditahan,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here