4 lelaki warga Nigeria ditahan terlibat ‘Parcel Scam’

0
449

POLIS menahan empat lelaki warga Nigeria yang disyaki terbabit kes penipuan ‘parcel scam’ di sebuah restoran makanan segera di Sri Damansara di Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan kerana mengakibatkan seorang warga emas kerugian RM64,000 kelmarin.

“Sebelum itu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan daripada lelaki berusia 62 tahun mendakwa ditipu selepas berkenalan dengan seorang wanita warga Berlin, pada Mac lalu.

“Pesara itu menyatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman sosial Facebook dan berterusan ke aplikasi WhatsApp dengan wanita itu menggunakan nombor telefon antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh perkenalan yang singkat, pengadu memberitahu suspek akan menghantar beberapa barang seperti komputer riba, jam tangan digital, rantai emas, jersi Manchester United dan wang tunai Euro 20,000 sebagai hadiah kepada pengadu.

Pada pukul 8.33 pagi 21 Mac lalu katanya, pengadu menerima mesej daripada daripada individu memperkenalkan diri sebagai Patrick dari syarikat penghantar menyatakan barang dihantar sudah tiba di Malaysia dan meminta pengadu membayar RM1,750 sebagai kos proses penghantaran serta beberapa kos lain.

“Pengadu kemudian membuat beberapa transaksi bayaran ke akaun bank berbeza dengan jumlah kerugian sebanyak RM64,000,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata, walaupun beberapa bayaran dibuat namun syarikat penghantar itu dikatakan masih meminta bayaran lain dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan pengadu berasa curiga dan mengesyaki ditipu.

Berikutan itu, katanya, pengadu tampil membuat laporan polis dan siasatan dijalankan sebelum berjaya menahan empat suspek dan merampas pelbagai barangan yang disyaki mempunyai kaitan kes penipuan itu.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut, Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here