34 motosikal musnah terbakar dipercayai akibat khianat

0
359

PIHAK polis sedang melakukan siasatan berhubung satu kes kebakaran dipercayai mempunyai unsur khianat yang memusnahkan 34 buah motosikal di kawasan parkir di Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

“Kita sedang mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, lapor Sinar Harian.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 2.21 pagi daripada seorang wanita tempatan memaklumkan berlaku kebakaran membabitkan motosikal.

“Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. PIhak polis dengan bantuan Forensik Bomba dari Balai Bomba Sri Rampai telah menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden kebakaran itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Firdaus Eber ditalian 014-364 9458, Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here