Puteri Sarah mahu tuntut hak diri dan anak-anak

0
523

PELAKON, Puteri Sarah Liyana membincangkan perihal rumah tangganya secara terbuka menerusi Instagram Live bersama rakannya, Nad Zainal pada tengah hari Rabu.

Keretakan rumah tangga Puteri Sarah bersama pelakon, Syamsul Yusof semakin meruncing selepas pelakon wanita itu mengambil keputusan untuk menyaman pelakon, Faghirah Fatini Kazaruddin, atau lebih dikenali sebagai Ira Kaza.

Sarah menjelaskan bahawa dia pernah ingin mengambil tindakan ketika mula-mula diganggu oleh pihak berkenaan.

Namun, apabila memikirkan aib suami dan keluarga, dia tidak bertindak demikian supaya tidak mencalarkan imej mana-mana pihak.

“Sebab tu saya bertahan selama empat tahun. Selagi saya boleh bertahan saya bertahan. Tapi lama-lama dia menjadi kacau pada mental. Jadi dari situ saya rasa sudah cukup. Kalau mulut saya jahat, dah lama saya cerita (hal berkenaan).

“Sekarang saya baru balik dari JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan). Saya nak saman bukan sebab saya nak rampas balik hak saya. Itu empat tahun dulu. Sekarang ni saya buat untuk tuntut hak saya dan anak-anak,” ujar Puteri Sarah, menurut laporan Harian Metro.

Jelasnya, dia telah membuat dua tuntutan atas gangguan yang dihadapi, iaitu kes sivil (mengganggu ketenteraman) serta laporan jenayah yang dibuat kepada JAWI dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menerusi perkongsian Puteri Sarah menerusi platform media sosial itu, Nad turut meluahkan rasa kurang senang terhadap orang ketiga yang juga punca keretakan sebuah keluarga.

“Walaupun saya bawa watak penyondol, tetapi saya benci spesis ini sebab kita ni perempuan, sepatutnya kita saling menyokong satu sama lain.

“Fikirkan dua tiga kali sebelum mengambil hak orang. Jangan jadi seperti Kirana (watak dalam Dosa Seorang Isteri). Apa pun kita doakan Sarah kuat sebab semua tahu semua di pihak kamu. Kamu sejenis wanita kental,” kata Nad.

Dalam pada itu, Sarah turut memberitahu yang dia berasa pelik kenapa pihak ketiga berkenaan bersungguh mengacau rumah tangganya seperti dirinya pula orang luar.

“Sepatutnya saya pergi hentam dia, ganyang dia. Tapi dia yang hentam saya macam saya ambil suami dia. Ni dah terbalik.

“Saya ada kawan yang bergelar isteri kedua. Saya tengok kawan saya tu hormat yang pertama. Tapi dia kena ganyang dengan bini pertama serta kena santau. Itu sepatutnya berlaku,” katanya.

Puteri Sarah dan Syamsul Yusof berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah kini berusia 3 tahun.

Khamis lalu, Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berserta dua aduan di pejabat agama terhadap Ira.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah didakwa berantakan kerana kehadiran orang ketiga dan atas sebab itu, mereka juga dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here