Lagi bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

0
323

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 19 set bubu naga di dua lokasi berbeza di perairan Batu Kawan, petang semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bubu naga itu dirampas di kedudukan kira-kira 2.9 kilometer barat daya perairan Batu Kawan antara pukul 4.15 hingga 4.40 petang.

Katanya, pemantauan berterusan melalui rutin OP PERTIWI yang dilakukan bot ronda Maritim Pulau Pinang mengesan objek terapung yang mencurigakan di dua lokasi itu dan berjaya menemukan 19 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau, kesemua bubu naga bernilai RM2,280 tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

”Penggunaan bubu naga diharamkan di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” tambahnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here