Macau Scam kreatif perdaya mangsa, kes penipuan meningkat tahun ini

0
250

SEBANYAK 383 tangkapan membabitkan jenayah komersial direkodkan di Negeri Sembilan sejak Januari hingga Mei lalu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid.

Menurut beliau, kes penipuan pembelian dalam talian mencatatkan kes tertinggi dan 249 daripada keseluruhan tangkapan sudah dituduh di mahkamah.

“Kes penipuan jual beli dalam talian mencatatkan 189 kes manakala 66 tangkapan membabitkan pinjaman tidak wujud, sebanyak 51 tangkapan bagi kes skim pelaburan, penipuan tawaran kerja (35), Macau Scam (24) dan Love Scam (18).

“Modus operandi seperti Macau Scam ini, mereka menggunakan nombor tidak dikenali dan menyamar sebagai pihak berkuasa seperti pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mereka memaklumkan mangsa terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk langgar lari, dadah atau penggubahan wang haram dan melarang mangsa untuk memberitahu sesiapa,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

Katanya, sindiket Macau Scam sangat kreatif kerana terdapat peningkatan kes pada tahun ini berbanding tahun lalu dan pihaknya sentiasa memberikan pendedahan, kesedaran serta kempen bagi mencegah orang daripada menjadi mangsa.

“Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 839 kes jenayah komersial dilaporkan di negeri ini iaitu peningkatan 6.87 peratus iaitu sebanyak 785 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terjebak menjadi keldai akaun menerusi iklan di laman sosial yang menawarkan untuk menyewa nombor akaun bank.

“Mereka sanggup bersubahat dengan ‘scammer’ bagi mendapatkan wang, melakukan jenayah dengan menganiaya orang lain. Saya mahu ingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here